Ads Top

Ciri-Ciri Pekerja Yang Disayangi Majikan


Bagi menjadikan diri sebagai seorang pekerja yang cemerlang dalam sesebuah organisasi atau syarikat, adalah penting bagi seseorang individu itu untuk melakukan yang terbaik demi prestij dan reputasi organisasi berkenaan. 

Seseorang pekerja yang menunjukkan prestasi yang baik dan sentiasa berusaha untuk meningkatkan diri sendiri merupakan antara pekerja yang menjadi pilihan setiap majikan. 

Adalah menjadi tanggungjawab setiap pekerja untuk melengkapkan diri mereka dengan kemahiran dan ilmu pengetahuan yang secukupnya bagi memastikan mereka menjadi seorang pekerja yang cemerlang dan disenangi oleh majikan. 

Kemahiran Diri

Seseorang pekerja yang disenangi oleh majikan sentiasa berusaha untuk meningkatkan kemahiran diri mereka. Antara kemahiran kritikal yang diperlukan dalam sesebuah organisasi ialah kemahiran untuk membuat keputusan dan kemahiran untuk menyelesaikan masalah. 

Seandainya para pekerja dapat menguasai kemahiran-kemahiran sebegini, maka ia dapat menjadi suatu kelebihan buat diri mereka untuk lebih didekati dan disenangi oleh pihak majikan. Kebolehan dalam menyelesaikan masalah dan membuat keputusan dalam setipa tugasan yang diberikan oleh pihak majikan boleh membantu sesebuah organisasi untuk lebih maju ke hadapan dan sekaligus meningkatkan prestasi kerja para pekerja itu sendiri. 

Komunikasi

Selain itu, seseorang pekerja yang disenangi dan disayangi oleh majikan juga biasanya mempunyai kemahiran untuk berkomunikasi yang tinggi serta cekap. Komunikasi yang berkesan antara para pekerja dan pihak majikan boleh menjamin keberkesanan dalam sesuatu tugasan dan kerja yang harus diselesaikan. Melalui saluran komunikasi yang betul, setiap individu dan pekerja dalam sesebuah organisasi atau pejabat boleh berinteraksi, memahami, dan bertukar-tukar maklumat antara satu sama lain. Keadaan ini juga boleh membantu untuk mewujudkan kerjasama yang berterusan di kalangan para pekerja dalam organisasi. 

Kreatif

Di samping komunikasi yang berkesan, seseorang pekerja juga harus melengkapkan diri mereka dengan budaya berfikir secara kreatif bagi memastikan setiap idea dan usul yang mereka kemukakan memenangi hati majikan dan menjadikan mereka lebih disenangi oleh pihak majikan. 

Bagi meningkatkan kreativiti dan inovasi dalam organisasi, seseorang pekerja perlu dipupuk untuk berfikir secara kritis dan konstruktif, bagi menjalankan kerja seharian mereka dengan pendekatan yang baru dan seterusnya membawa satu anjakan yang baru kepada organisasi berkenaan. 

Keadaan ini dapat menimbulkan perhatian daripada pihak majikan untuk melihat kepada usul-usul kreatif yang dikemukakan oleh para pekerja tersebut dan menggerakkan pihak majikan untuk menunjukkan penghargaan mereka di atas idea-idea yang telah dilontarkan oleh para pekerja tersebut. 


Sikap Professional

Seseorang pekerja yang disenangi oleh majikan juga biasanya sentiasa mengamalkan sikap profesionalisme dalam setiapa tugasan yang mereka lakukan. Dalam hal ini, profesionalisme dikatakan lebih utama dan lebih penting berbanding pengetahuan, dan kepakaran seseorang pekerja. 

Antara nilai-nilai penting yang perlu diterapkan dalam diri setiap pekerja bagi membudayakan sikap profesionalisme ini adalah meliputi kesetiaan, neutral, ketekunan, ketepatan masa, keberkesanan dan adil dalam melakukan setiap tugas yang diamanahkan kepada mereka. 

Dengan sikap-sikap yang positif ini, maka ia menjadi nilai tambah bagi seseorang pekerja untuk lebih mudah didekati dan disenangi oleh pihak majikan. 

Bertindak Mengikut Arahan

Selain daripada sikap profesionalisme, seseorang pekerja juga harus sentiasa peka dan bersikap responsif terhadap segala arahan dan tugasan yang dipertanggungjawabkan oleh pihak majikan. 

Tindak balas yang positif terhadap setiap arahan serta menjalankan tugasan yang diamanahkan dalam keadaan yang terbaik boleh membantu mereka untuk mengekalkan prestasi yang cemerlang dan sekaligus menjadika mereka sebagai pekerja yang disenangi oleh pihak majikan dan rakan-rakan sekerja yang lain.

Powered by Blogger.